Auto Added by WPeMatico

SEBERANG PERAI – Suspek warga Vietnam yang tular selepas membuat kecoh di dalam sebuah pasar raya di Butterworth di sini, semalam dengan cuba menarik bayi lelaki dari dukungan ibunya direman empat hari, bermula hari ini.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Nurul Aina Ahmad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 dan Seksyen 506 kanun sama.
Terdahulu, suspek berusia 36 tahun yang merupakan seorang bapa kepada tiga anak itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dalam keadaan kedua-dua tangan bergari kira-kira pukul 9.45 pagi tadi.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan polis apabila dia bukan sahaja mencuri beberapa makanan laut tetapi menarik bayi lelaki berusia 11 bulan dari dukungan ibu sambil memegang sebilah pisau.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, suspek turut bertindak agresif ketika dikepung orang awam termasuk kakitangan premis berkenaan.
Kejadian dipercayai berlaku apabila penyelia premis terbabit sebelum itu menyedari perbuatan suspek yang mahu melarikan diri dengan membawa beberapa makanan laut yang belum dibayar.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman turut mengesahkan kejadian berlaku dan memberitahu, suspek berjaya diberkas dengan bantuan beberapa pekerja lain yang kemudiannya bertindak menghubungi polis untuk tindakan susulan. -KOSMO! ONLINE
The post Lelaki buat kecoh, tarik bayi 11 bulan direman empat hari appeared first on Kosmo Digital.