Auto Added by WPeMatico

![]()
LANGKAWI – Percutian sebuah keluarga berakhir tragedi apabila seorang lelaki lemas ketika cuba menyelamatkan adik dan anak saudaranya yang dipukul ombak di Pantai Tanjung Rhu, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Mohd. Fadhilah Abdul Halim, 42, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini.
Adik mangsa, Husna Abdul Halim, 28, dan anak saudaranya, Nasuha Mohd. Asrul, 19, yang berjaya diselamatkan kini masih menerima rawatan di Wad Kecemasan HSM.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kampung Kubang Bemban, Mukim Tekai Kanan, Naka, dekat sini berada di pulau itu untuk bercuti.
Katanya, mereka bersama ahli keluarga tiba di pantai berkenaan pada pukul 1.30 tengah hari.
“Pada kira-kira pukul 2 petang, salah seorang ahli keluarga mangsa melihat Husna dan Nasuha sedang tercungap-cungap di dalam air akibat dipukul ombak kuat.
“Mohd. Fadhilah kemudian bertindak menyelamatkan kedua-dua mereka, namun tidak berjaya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, sebuah bot yang berada berhampiran kemudian menuju ke arah mangsa sebelum menarik tangan ketiga-tiga mereka.
“Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha, namun Mohd. Fadhilah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. Dua lagi mangsa disahkan selamat dan kini menerima rawatan di Wad Kecemasan HSM,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki lemas ketika cuba selamatkan adik, anak saudara di Tanjung Rhu appeared first on Kosmo Digital.
