Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Murid lelaki berusia 12 tahun yang mendakwa menjadi mangsa buli pelajar senior di sebuah rumah anak yatim di Tanjung Kling di sini pada Isnin lalu menerima rawatan di hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah keluarganya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 27 April lalu sebelum mangsa membuat aduan pada keesokan harinya.
Menurutnya, susulan laporan itu, empat dipercayai pelaku berusia sekitar 16 tahun yang juga penghuni pusat berkenaan telah ditahan polis pada malam berikutnya sebelum dibebaskan dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.
“Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan, selain ibunya turut membuat keputusan mengeluarkannya dari rumah anak yatim tersebut.
“Murid berkenaan mendaftar masuk ke rumah tersebut sejak 2024,” ujarnya kepada pemberita hari ini.
Jelas beliau, rumah anak yatim yang berada di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu menempatkan 38 pelajar lelaki berusia antara sembilan hingga 16 tahun, terdiri daripada anak yatim, separa yatim serta kanak-kanak daripada keluarga bermasalah.
“Bukan semua penghuni adalah anak yatim sepenuhnya, ada juga daripada keluarga bermasalah dan kurang berkemampuan. Jadi, kita tidak menolak kemungkinan hal-hal tidak diingini ini berlaku membabitkan kelakuan segelintir pelajar yang mempunyai latar belakang bermasalah dan perkara ini akan diperhalusi semula termasuk kaedah kemasukan pelajar,” ujarnya.
Katanya, pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan MAIM akan menjalankan siasatan lanjut termasuk terhadap peranan warden. – KOSMO! ONLINE
The post Murid dipukul, kepala direndam senior dirawat di hospital sebelum pulang appeared first on Kosmo Digital.
