Auto Added by WPeMatico

![]()
PEREDARAN masa membuatkan penggunaan dron tidak lagi terhad untuk penggambaran rakaman atau fotografi dari udara. Sebaliknya, perkembangan teknologi membolehkan penggunaan gajet itu dalam sektor pertanian sebagai sebahagian daripada pengurusan tanaman moden.
Pelbagai tugasan termasuk penyemburan baja dan racun serangga, pemantauan kesihatan tanaman, pemetaan tanah serta penyebaran benih dapat dilakukan bagi memudahkan tugas petani untuk menguruskan tanaman.
Dron juga dapat melaksanakan kerja dengan lebih pantas, tepat dan efisien, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual. Keupayaan dron mengumpul data dari udara turut menyokong konsep pertanian tepat yang membolehkan setiap kawasan tanaman diurus berdasarkan keperluan sebenar.
The Conversation melaporkan, penggunaan dron dapat dilihat menerusi perkembangan pasaran pertanian global yang bernilai kira-kira AS$5.7 bilion (RM23 bilion) pada 2025 dan dijangka meningkat kepada AS$6.5 bilion (RM26 bilion) pada tahun ini.
Nilainya diunjurkan terus berkembang sehingga mencecah AS$24.8 bilion (RM100 bilion) menjelang 2036 dengan kadar pertumbuhan tahunan purata (CAGR) sebanyak 14.3 peratus.
“Dron pertanian kini ibarat traktor terbang atau mesin pelbagai fungsi yang boleh melakukan pelbagai tugas menggunakan perkakasan khas.
“Kegunaan biasa dron di ladang termasuk menyembur tanaman, menyebarkan baja, menyemai benih, mengangkut hasil, mengagihkan makanan ikan, mengecat rumah hijau, memantau lokasi dan kesejahteraan ternakan, serta saliran lapangan,” ujar laporan itu.
Pertumbuhan penggunaan dron didorong beberapa faktor termasuk kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian, peningkatan pelaburan terhadap pertanian tepat serta keperluan meningkatkan produktiviti tanaman secara lebih lestari.
Dron jenis sayap berputar mendominasi pasaran dengan anggaran sebanyak 58 peratus pada tahun ini kerana kesesuaiannya untuk kerja penyemburan dan pemantauan tanaman.
Lapor portal Fact.MR, pengendali komersial menyumbang 82 peratus penggunaan, manakala dron berkapasiti muatan antara 10 hingga 15 kilogram menjadi pilihan utama dengan 31 peratus.
Dalam operasi di ladang, dron boleh digunakan untuk menyembur racun serangga dan baja secara lebih sekata serta tepat. Penggunaan teknologi itu berpotensi mengurangkan penggunaan bahan kimia sehingga 30 hingga 40 peratus dan menjimatkan air sehingga 90 peratus berbanding kaedah manual.
“Sensor dan kamera khas pula membolehkan dron menghasilkan imej udara bagi memantau keadaan tanaman.
“Teknologi ini membantu mengesan tanda penyakit atau serangan perosak lebih awal, sekali gus membolehkan petani mengambil tindakan sebelum masalah berkenaan merebak ke kawasan tanaman yang lebih luas.
“Penggunaan dron juga memberikan manfaat menerusi aspek keselamatan dan kelestarian.
“Petani tidak perlu lagi terdedah secara langsung kepada bahan kimia ketika proses penyemburan, manakala penggunaan bahan dan air yang lebih terkawal dapat mengurangkan pembaziran serta risiko pencemaran,” lapornya.
Di peringkat global, penggunaan teknologi itu semakin berkembang terutama di negara yang mempunyai sektor pertanian berskala besar.
Antara negara yang menjadikan gajet tersebut sebagai pilihan utama adalah China apabila lebih 251,000 unit dron pertanian digunakan, manakala kira-kira 30 peratus kawasan ladang di Thailand menggunakannya pada 2023.
Bagi Malaysia dan negara Asia Tenggara, teknologi dron turut membuka ruang untuk memodenkan sektor tanaman, khususnya dalam perladangan kelapa sawit dan tanaman padi.
Pada masa sama, perkembangan ini berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan baharu seperti pengendalian dan penyelenggaraan dron, sekali gus membantu petani mengurus tanaman dengan lebih tepat.
The post Teknologi dron pacu transformasi sektor pertanian appeared first on Kosmo Online.
