Auto Added by WPeMatico

KANGAR: Pesawah bukan sahaja berdepan kelewatan bekalan baja subsidi, malah mendakwa baja sebatian tambahan yang diterima berkualiti rendah kerana mempunyai kandungan debu yang tinggi.
Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban mendedahkan, pihaknya menerima banyak aduan daripada pesawah dan pengusaha perkhidmatan dron pertanian berkaitan kualiti baja berkenaan.
Katanya, berdasarkan maklum balas diterima, habuk yang terhasil ketika proses penyebaran menggunakan dron antaranya, didakwa boleh memasuki ruang pengudaraan, motor dan komponen elektronik dron.
“Sekiranya dakwaan tersebut disahkan melalui penilaian teknikal, keadaan tersebut berpotensi meningkatkan kos penyelenggaraan, mengganggu operasi dan menjejaskan penggunaan teknologi moden yang sedang dipromosikan dalam sektor pertanian.

“Selain itu, kami juga menerima pelbagai aduan daripada pesawah yang mempersoalkan keadaan fizikal baja tersebut. Malah terdapat rakaman video yang menunjukkan keadaan baja berkenaan sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan pesawah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Katanya, situasi itu menimbulkan persoalan sama ada baja yang dibekalkan itu telah melalui proses kawalan kualiti mencukupi atau memenuhi spesifikasi ditetapkan dalam kontrak perolehan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan segera mengambil tindakan dengan mendedahkan laporan ujian makmal baja itu kepada umum bagi memastikan ketelusan.
“Selain itu, jalankan audit teknikal bebas terhadap kandungan debu, saiz partikel dan kesesuaian baja digunakan bersama dron serta peralatan mekanisasi pertanian.
“Antara lain, menyiasat punca kelewatan bekalan yang telah menjejaskan jadual penanaman pesawah selain mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi spesifikasi kontrak atau peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Shazwan turut menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat keseluruhan proses perolehan baja tersebut bagi memastikan tiada unsur salah guna kuasa, penyelewengan atau pelanggaran tatakelola sekiranya disokong oleh bukti.
“Pesawah tidak meminta layanan istimewa, mereka hanya menuntut hak untuk menerima baja yang berkualiti, dihantar mengikut jadual dan memenuhi spesifikasi ditetapkan,” katanya.
Mohd. Shazwan berkata, isu berkenaan bukan sekadar berkaitan soal pembekalan baja semata-mata, tetapi melibatkan masa depan industri padi negara, pendapatan pesawah dan keterjaminan bekalan makanan Malaysia.
Katanya, pihak yang bertanggungjawab perlu memberikan penjelasan secara terbuka dan mengambil tindakan segera bagi memulihkan keyakinan para pesawah.
“Jika benar baja tersebut memenuhi spesifikasi ditetapkan, dedahkan keputusan ujian kepada rakyat. Jika benar proses perolehan dilaksanakan telus, jangan takut kepada siasatan,” katanya.
Ekoran daripada rungutan terhadap kualiti baja tersebut, Mohd Shazwan memberitahu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah mengambil langkah menjalankan satu kaji selidik berkenaan kualiti dan keberkesanan pembekalan baja sebatian tambahan bagi musim 1/2026.
Selain itu, katanya, kelewatan penghantaran baja turut menjejaskan jadual pembajaan pesawah pada peringkat pertumbuhan yang kritikal.
“Dalam proses penanaman padi, kelewatan pembajaan boleh memberi kesan langsung kepada pertumbuhan tanaman, hasil tuaian dan pendapatan pesawah,” katanya. – UTUSAN
The post Pesawah dakwa baja dibekalkan tidak berkualiti appeared first on Utusan Malaysia.
