Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Ibu bapa dua beradik yang ditemui separa sedar selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah unit apartment di Taman Megah Emas, di sini hari ini dipercayai keluar bekerja semasa kejadian berlaku.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, ketika kejadian, hanya dua kanak-kanak iaitu seorang lelaki dan perempuan berada di rumah.
“Kedua-dua mangsa yang berusia anggaran empat hingga enam tahun dijumpai anggota di sebuah bilik dalam keadaan separa sedar.
“Ketika kejadian, ibu dipercayai keluar bekerja, manakala bapa pula menjalankan p-hailing,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua kanak-kanak ditemui dalam keadaan separa sedar selepas terperangkap dalam kebakaran di Taman Megah Emas, di sini.
Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke Hospital Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) dan kini dilaporkan stabil. – KOSMO! ONLINE
The post Dua beradik terperangkap: Ibu bapa keluar kerja semasa kejadian appeared first on Kosmo Digital.
