Auto Added by WPeMatico

KUANTAN – Pelajar lelaki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pekan yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah tanpa pengetahuan keluarga semalam selamat ditemui pukul 7 pagi tadi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sri Yahaya Othman berkata, pelajar berumur 13 tahun itu ditemui di rumah saudaranya di Chukai, Terengganu.
“Kita menerima laporan berkaitan kehilangan pelajar terbabit pada pukul 4 petang semalam dan kita telah menjalankan siasatan serta menemuramah keluarganya yang tinggal di Kuantan ini.
“Dan kita pun percaya pelajar berkenaan ada lari ke rumah ahli keluarga dan pada pukul 7 pagi tadi kita telah dapat mengesan pelajar ini di rumah saudaranya di Chukai,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan bagi Bulan Mei 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas bagaimana pelajar terbabit pergi ke rumah saudaranya, Yahaya berkata, pihak polis akan mendapatkan rakaman keterangan daripada pelajar berkenaan.
Semalam media melaporkan seorang pelajar MRSM Pekan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga, dipercayai kerana enggan kembali ke asrama.
Mangsa, Anas Baihaqi Miqdad Johari, 13, disedari hilang oleh ibunya kira-kira pukul 4 petang tadi selepas mendapati remaja itu tidak berada di dalam bilik tidur.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata sebelum kejadian, ibu mangsa berusia 41 tahun memaklumkan Anas Baihaqi masih berada di rumah kira-kira pukul 3.30 petang. – KOSMO! ONLINE
The post [KEMASKINI] Pelajar MRSM Pekan hilang ditemui selamat di Terengganu appeared first on Kosmo Digital.