Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Kes amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di Selangor berada pada tahap membimbangkan apabila meningkat sebanyak 70 peratus dalam tempoh lima tahun bermula 2021.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, sebanyak 1,654 kes amang seksual fizikal direkodkan dan disiasat di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sepanjang tempoh tersebut.
Menurut beliau, peningkatan itu turut mencerminkan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi untuk tampil membuat laporan.
“Bilangan kes yang meningkat ketara ialah amang seksual fizikal sebanyak 70 peratus sejak tahun 2021 dengan 1,654 kes. Selain itu, sebanyak 156 kes amang seksual bukan fizikal, 42 kes memiliki bahan lucah kanak-kanak dan 24 kes menghasilkan atau mengedarkan bahan lucah kanak-kanak turut direkodkan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) yang meminta jumlah dan jenis kes jenayah seksual kanak-kanak di Selangor bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Anfaal berkata, bagi tempoh sama, sebanyak 1,845 kes rogol kanak-kanak turut disiasat mengikut Kanun Keseksaan.
Beliau menjelaskan, pelbagai inisiatif advokasi dan intervensi dilaksanakan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Wanita Berdaya Selangor (AWBS).
Mengulas pemerhatian Mohd. Shafie bahawa kira-kira 20 peratus jenayah seksual kanak-kanak berlaku di kawasan sekolah, Anfaal menyifatkan perkara itu amat membimbangkan yang menuntut tindakan segera dan kerjasama semua pihak. – KOSMO! ONLINE
The post Kes amang seksual fizikal kanak-kanak di Selangor meningkat 70 peratus appeared first on Kosmo Digital.
