Auto Added by WPeMatico

![]()
SYDNEY – Polis Australia merampas 2.7 tan kokain disembunyikan di dalam sejumlah tab plastik yang ditanam di bawah tanah di pinggir bandar raya Sydney, kata beberapa detektif semalam.
Rampasan kokain itu adalah yang terbesar dalam sejarah Australia, demikian menurut pasukan penyiasatan bersama jenayah terancang.
Polis berkata, kumpulan jenayah berpangkalan di Sydney mengatur agar sebuah kapal asing memunggah kokain tersebut di utara Queensland sebelum memindahkannya ke Sydney untuk pengedaran.
“Siasatan mengenai asal usul dadah itu masih diteruskan dan kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa serta domestik untuk mengenal pasti sindiket jenayah terbabit,” kata Komander Polis Persekutuan Australia, Stephen Jay.
Menurutnya, kokain ini bernilai lebih AUD$800 juta (RM2.3 bilion) di pasaran gelap.
“Wang ini tidak akan masuk ke dalam poket kumpulan jenayah terancang,” kata Jay.
Sebuah kapal yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah haram ke Queensland, MV Wealth turut ditahan oleh pihak berkuasa di Kepulauan Solomon untuk siasatan lanjut, kata polis.
Negara-negara Kepulauan Pasifik menjadi transit utama untuk penghantaran kokain dan metamfetamin ke Australia dan New Zealand dari sejauh Amerika Selatan serta Asia Tenggara.
Polis menemui kokain itu Jumaat lalu di dalam tab-tab plastik yang ditanam di ruang bawah tanah di bawah lantai palsu.
Penemuan dibuat di belakang sebuah hartanah di Londonderry, barat laut Sydney. – AFP
The post Kubu bawah tanah simpan kokain lebih RM2 bilion appeared first on Kosmo Digital.
