Auto Added by WPeMatico

![]()
KUCHING: Seorang guru wanita ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Bau, hari ini.
Ketika ditemukan, mangsa berada dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di lantai tandas guru sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan pada pukul 9.08 pagi.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas dihubungi Pusat Perubatan Kecemasan (MECC) Kuching melalui talian MERS 999 pada pukul 8.53 pagi.
“Anggota dari Balai Polis Bau kemudian bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan awal.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang di lantai tandas guru perempuan di sekolah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Mohd. Haidee berkata, hasil temu bual dengan rakan setugas mendapati wanita itu sudah berkhidmat sebagai guru mata pelajaran Sains dan Biologi sejak 25 tahun lalu.
Katanya, berdasarkan maklumat dari rakan mangsa, kali terakhir beliau melihat mangsa adalah sekitar pukul 8.15 pagi di bilik guru sebelum wanita itu memaklumkan ingin ke tandas.
Bagaimanapun jelasnya, kira-kira pukul 8.35 pagi, seorang guru lain memaklumkan bahawa mangsa masih belum hadir ke kelas untuk sesi pengajaran, menyebabkan rakan setugas pergi mencari mangsa di tandas guru perempuan.
“Sebaik pintu tandas dibuka, mangsa didapati berada dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri sebelum talian kecemasan dihubungi bagi mendapatkan bantuan perubatan,” katanya.
Mohd Haide berkata, pegawai perubatan dari Hospital Bau mengesahkan kematian mangsa pada pukul 9.08 pagi di lokasi kejadian.
Pemeriksaan awal yang dijalankan oleh BSJD Bau tidak menemukan sebarang kecederaan yang mencurigakan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau Sudden Death Report (SDR). Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bau untuk bedah siasat,” katanya. – UTUSAN
The post Guru wanita ditemukan meninggal dunia dalam tandas appeared first on Utusan Malaysia.
