Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Tindakan seorang kontraktor mengemukakan dokumen palsu kerja-kerja pembaikan sistem Kapal Maritim (KM) memakan diri apabila didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Zulham Shah Mohammad, 44, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Zulham Shah didakwa dengan curang menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu surat setuju terima tanpa dokumen kontrak bagi pembaikan Remote Control System dan Monitoring Control System (MCS) bertarikh 8 Julai 2020 di Kapal KM Sugut oleh sebuah syarikat yang telah siap, diuji dan diterima.
Namun sebenarnya kerja membaiki sistem itu belum siap dan dilaksanakan oleh tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Fariz Abdul Hamid memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan pihak lain untuk melakukan tindakan sama.
Peguam Aiman Abdul Rahman dalam mitigasinya merayu agar mahkamah mempertimbangkan jumlah denda yang telah dipersetujui dengan pihak pendakwaan.
Dalam pada itu, seorang pegawai kanan Maritim Malaysia (APMM), Mohamad Izuar Zainudin, 42, mengaku tidak bersalah bersubahat bagi melakukan kesalahan sama selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim sama.
Pertuduhan dibuat mengikut seksyen yang sama. Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin dengan sebutan semula kes pada 16 Julai ini. – KOSMO! ONLINE
The post Kontraktor didenda RM50,000 kemuka dokumen palsu kerja KM Sugut appeared first on Kosmo Digital.