Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan dua struktur binaan tanpa kelulusan yang digunakan sebagai kedai runcit dan kedai gunting rambut dikendalikan warga asing di Lorong Segambut Dalam di sini.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen (JIM), Tenaga Nasional Berhad, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. dan Telekom Malaysia Berhad.
Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan itu dibuat selepas pemilik gagal mematuhi dua notis penguatkuasaan bagi mengosongkan tapak berkaitan pembinaan struktur sambungan kekal tanpa kebenaran di atas rezab jalan dan lorong tepi bangunan.
“Notis tersebut telah dikeluarkan pada 29 Julai dan 31 Julai lalu atas kesalahan di bawah Seksyen 69, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Operasi merobohkan dua struktur binaan itu dijalankan selepas pemilik premis gagal mematuhi arahan yang telah diberikan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kerja-kerja meroboh dan membersihkan kawasan berjalan lancar selepas semua barangan serta peralatan perniagaan dipindahkan keluar oleh pemilik premis.
Malah, bekalan air dan elektrik ke premis turut dipotong mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh DBKL, Air Selangor dan TNB.
DBKL turut menyita serta memindahkan ayam hidup dan ikan hidup ke stor Unit Kawalan Pest, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL bagi tujuan dokumentasi.
Sementara itu, JIM menahan lima pekerja warga asing untuk tindakan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Kata DBKL, pihaknya akan meneruskan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE
The post DBKL roboh dua struktur kedai haram appeared first on Kosmo Digital.
