Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Meskipun pernah mengakui menutup pintu hati untuk menjalin cinta, pelakon Sophia Albarakbah tidak menolak sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh dengan sahabat baiknya sejak zaman universiti.
Jelas aktres berusia 32 tahun itu, kawan baiknya yang enggan dikenali itu sememangnya sangat rapat dengan keluarga sejak lebih sedekad lalu.
“Itu kawan lama saya, 14 tahun kenal dari zaman universiti. Memang dia rapat dengan keluarga saya.
“Dia sentiasa ada dengan saya tak pernah tinggal. Buat masa sekarang, saya tak nak letak ‘label’, kami memang kawan.
“Ya (kawan paling rapat). Kalau ada jodoh, okeylah. Keluarga sentiasa restu dari dulu,” katanya kepada Kosmo! Online pada malam gala filem Tembuni Berdarah, semalam.
Difahamkan, rakan rapat Sophia turut hadir ke acara berkenaan dan duduk sebaris dengan keluarganya.
Bagaimanapun, Sophia enggan terlalu pusing soal rumah tangga sebaliknya mahu fokus terhadap kerjaya seni buat masa sekarang.
“Sekarang nak fokus hasilkan kerjaya orang suka tengok. Saya mahu orang pandang bakat saya lebih banyak.
“Fasal kahwin, saya memang tak fikir lagi, kalau ada saya ‘go with the flow’ (ikut keadaan),” ujarnya.
Pada masa sama, dia turut memaklumkan bahawa kawan baiknya termasuk keluarga memberikan sokongan padu terhadap kariernya.
‘Dia daripada dulu sokong saya, mungkin orang baru perasan hari ini. Keluarga dan kawan-kawan saya memang menyokong filem saya,” tuturnya.
Sebelum ini, Sophia menjalinkan hubungan cinta dengan seorang doktor yang dikenali sebagai Mr. Doktor pada Mac 2023.
Namun, hubungan tersebut terlerai pada penghujung tahun 2023 selepas dia beberapa kali berkongsi hantaran patah hati dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE
The post Kenal 14 tahun sejak universiti, dia rapat dengan keluarga saya appeared first on Kosmo Digital.