Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – “Mama kata dia rindu sangat nak peluk Ammar. Hari-hari buat solat hajat untuk Ammar dan dia sayang Ammar walau apa pun terjadi.”
Demikianlah kata-kata ibu kepada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang lebih seminggu setelah selesai mandi-manda di Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor pada 23 Ogos lalu.
Menurut kakaknya, Anis Aqilah Mohd. Ariffin, 29, sehingga kini ibunya berharap adiknya Muhammad Ammar Mohd. Ariffin, 27, menghubungi mereka sekeluarga memaklumkan bahawa dirinya selamat.
Katanya, sehingga kini Ammar yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu tidak dapat dihubungi dan keberadaannya masih menjadi tanda tanya kepada mereka sekeluarga.
“Kami tidak dapat hubungi, dia (Ammar) pun tiada hubungi kami. Kawan-kawan dia, jurulatih dia, rakan sekerja, bakal tunang semua langsung tidak dapat hubungi atau tahu keberadaan dia.
“Kami dah cuba cari sampai ke Teluk Intan sebab adik saya ada beli rumah di sana. Tapi tiada. Pihak polis pun ada buat rondaan di Sungai Kedondong, mereka kata tiada kereta adik saya. Isnin lepas pun saya ada pergi sana untuk cari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Anis Aqilah berkata dua laporan polis telah dibuat pada 25 Ogos lalu (Isnin) oleh keluarga di Balai Polis Ulu Yam dan pihak TUDM di Balai Polis Kinrara Puchong.
Katanya, sebelum menghilang tanpa jejak, adiknya tidak ada memberitahu atau menunjukkan tanda-tanda ingin menyendiri kepada mana-mana ahli keluarga termasuk bakal tunang.
“Kali terakhir saya berhubung dengannya adalah pada 22 Ogos lalu, ketika itu berbincang tentang majlis pertunangnnya yang sepatutnya berlangsung pada 30 Ogos,” katanya.
Sementara itu, Anis Aqilah turut menyifatkan adiknya seorang yang peramah serta disenangi oleh rakan-rakannya selain bersikap terbuka dalam berkongsikan apa-apa masalah.
Dia juga percaya adiknya tidak mempunyai musuh kerana kawan-kawannya sering prihatin terhadap Ammar.
“Harapan kami ialah Ammar berada dlm keadaan selamat. Sekiranya dia selamat, minta Ammar hubungi keluarga supaya tiada sebarang tuduhan liar dan tidak menyusahkan ramai pihak termasuk pihak polis.
“Walau apa pun yang berlaku, mama kata pasti ada penyelesaiannya. Walau apa pun keadaan Ammar, semoga dia dapat ditemui dan kami sekeluarga dapat makluman,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Muhammad Ammar hilang selepas pergi mandi-manda di Sungai Kedondong pada 23 Ogos.
Muhammad Ammar yang kali terakhir dipercayai memandu Proton Satria berwarna biru tidak pulang ke kem pada 24 Ogos selain tidak dapat dihubungi oleh keluarga dan rakan-rakan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Walau apa pun keadaannya, semoga Ammar selamat ditemui’ appeared first on Kosmo Digital.