Auto Added by WPeMatico

TAMPIN – Seorang guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Baru Geduk disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Gemencheh setelah ditemukan tidak sedarkan diri di bilik guru sekolah berkenaan, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superitenden Amiruddien Sariman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden membabitkan guru besar SJKC berusia 45 tahun berkenaan kira-kira pukul 11.25 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut pihak polis mendapati, mangsa telah menghadiri Program Hari Usahawan 2025 di sekolahnya dan semasa kejadian mangsa didapati tidak sihat dan telah berehat di biliknya.
“Pada pukul 9 pagi, rakan mangsa dapati mangsa tidak sedarkan diri dan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Gemencheh. Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, dia sepatutnya hadir untuk merasmikan program terbabit pada pukul 11 pagi, namun sejam sebelum itu pegawainya memaklumkan kematian mendiang.
Menurutnya, mendiang baru lapan bulan berkhidmat di sekolah itu dan sebelum ini bertugas di SJKC Air Kuning.
“Sepanjang saya mengenali mendiang, dia seorang guru yang berdedikasi dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam tugasnya. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Guru besar SJKC meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri hadir aktiviti sekolah appeared first on Kosmo Digital.