Auto Added by WPeMatico

KOTA TINGGI – Seperti berada dalam dunia yang tersendiri, unik, penuh dengan privasi dan padat dengan memori terindah boleh dirakam ketika melancong ke Desaru Coast yang terletak di hujung selatan Pantai Timur Johor.
Menurut kenyataan Desaru Coast, kawasan seluas 1,600 hektar itu lengkap dengan penerokaan sejauh 17 kilometer di tepi pantai memberi peluang kepada pelbagai aktiviti riadah termasuk menelusuri perairan sungai serta kawasan hijau paya bakau berdekatan menjadikan destinasi ini sebuah kawasan pelancongan bersepadu yang dapat memenuhi keperluan pelancong tempatan, malah turut digemari pelancong asing khususnya dari Singapura.
Lebih menarik, ia juga kini terkenal sebagai destinasi kepada pelbagai acara bertaraf antarabangsa kerana kejayaannya menganjurkan Ombak Festival, Desaru Coast Multisport Festival by Ironman, L’Etape Malaysia byTour de France dan Dioriviera by DIOR.

Bagi memenuhi percutian pengunjung, terdapat hampir 800 bilik hotel yang disediakan melalui beberapa hotel dan resort mewah yang memiliki ciri-ciri istimewa yang dapat memenuhi keperluan bajet serta misi percutian pelancong tidak kira yang berkeluarga, berbulan madu atau bersama kumpulan kawan serta juga program korporat selain kakitangan kerajaan.
Semua destinasi di sini bakal membawa memori dan pengalaman menarik untuk dibawa pulang bersama, malah bakal menjadi penarik untuk kembali lagi meneroka tarikan pakej pelancongan lain di Desaru Coast.
Antara resort yang terkenal di sini adalah Anantara Desaru Coast Resort & Villas dan The Westin Desaru Coast Resort yang memiliki 275 bilik hotel menawarkan pemandangan terindah dari balkoni masing-masing menghadap Laut Cina Selatan sambil menghayati alunan ombak sebagai hiburan harian sepanjang menginap di situ.

Pelbagai aktiviti untuk tetamu dan juga keluarga bermula sebaik bangun dari tidur, menikmati suasana indah matahari terbit di tepi pantai hinggalah pada waktu malam.
Turut diisi dengan aktiviti mandi-manda di kolam renang yang sangat unik selain menikmati hidangan makanan dan minuman yang disediakan di beberapa restoran di hotel berkenaan membuatkan tetamu berat untuk berangkat balik ke kota masing-masing.
Bagi yang ingin memanjakan diri pula, hotel dan resort di Desaru Coast juga menyediakan pilihan spa yang telah memenangi pelbagai anugerah selain layanan mewah daripada kakitangan berpengalaman.
Mahu mencari kelainan dalam aktiviti riadah, berhibur sambil makan dan minum, tetamu juga boleh berkunjung ke Hard Rock Hotel Desaru Coast yang mana premis ini turut menawarkan pengalaman percutian yang istimewa khususnya kepada golongan muda.
Hotel yang memiliki 365 bilik itu juga terletak bersebelahan dengan Adventure Waterpark Desaru Coast yang dapat memenuhi lagi aktiviti berasaskan air seperti mencuba water coaster yang pertama di rantau ini.
Bagi peminat golf pula, The Els Club Desaru Coast menjadi pilihan mereka selain turut menempatkan sebuah akademi yang menawarkan kemudahan latihan kepada pelbagai peringkat pemain. -KOSMO! ONLINE
The post Desaru Coast destinasi unik tambat hati pelancong appeared first on Kosmo Digital.