Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Helah sindiket penyeludupan migran menggunakan kondominium sebagai rumah transit di Kuchai Lama terbongkar apabila Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan kegiatan itu semalam.
Sindiket itu yang aktif sejak Disember tahun lalu membawa masuk warga asing secara haram dengan bayaran sekitar RM12,000 bagi setiap migran melalui Kelantan dipercayai meraih keuntungan kira-kira RM1.2 juta.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata, operasi berkenaan membawa kepada penahanan seorang rakyat tempatan dan seorang warga Bangladesh yang dipercayai bertindak sebagai transporter sindiket dikenali sebagai ‘Geng Sojul’.
“Serbuan pertama dijalankan kira-kira pukul 1.30 petang apabila dua kenderaan jenis pacuan empat roda (4X4) dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipintas di kawasan parkir sebuah pasar raya di Jalan Kuchai Lama.
“Hasil pemeriksaan mendapati enam lelaki dan seorang wanita Bangladesh serta seorang lelaki Myanmar berada di dalam kenderaan tersebut. Seramai 20 warga asing turut ditahan kerana disyaki diseludup masuk ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, serbuan dilakukan ke sebuah kondominium di sekitar Kuchai Lama yang dipercayai dijadikan rumah persembunyian dan transit sindiket berkenaan.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 12 lelaki Bangladesh berusia antara 18 hingga 49 tahun yang dipercayai baru tiba dari negara jiran dan sedang menunggu untuk dihantar ke beberapa negeri di selatan tanah air serta sekitar Lembah Klang.
“Turut disita dua buah kenderaan pacuan empat roda dan SUV, beberapa keping pasport Bangladesh serta wang tunai berjumlah RM82,100 dan mata wang asing sebanyak AS$3,700,” katanya.
Kesemua yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya bagi siasatan lanjut mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Pasport 1966. – KOSMO! ONLINE
The post Raih RM1.2 juta, ‘Geng Sojul’ seludup migran tumpas appeared first on Kosmo Digital.
