Auto Added by WPeMatico

SABAK BERNAM – Graduan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) diingatkan sentiasa menjadi generasi beramanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan segala tugasan termasuk mentadbir negara pada masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri PSIS, Tan Sri Dr. Rozali Ismail berkata, kejayaan sesebuah negara dalam zaman globalisasi amat berkait rapat dengan rakyatnya yang mempunyai aspek disiplin, kesopanan tinggi serta bertatasusila.
Katanya, akhir-akhir ini timbul pelbagai perkara yang tidak dijangkau pemikiran seperti kes buli, rasuah serta tidak mematuhi peraturan ketika melaksanakan tugas masing-masing.
“Sebagai institusi seperti PSIS, kita boleh melahirkan anak-anak berjaya dalam bidang pendidikan tetapi perlulah seiring dengan akhlak dan disiplin selain beramanah yang akan dipraktikan apabila berada di luar nanti.
“Sama ada nilai ini semakin luntur atau dapat melahirkan generasi beramanah adalah sesuatu yang perlu ditekankan pada graduan sebagai asas kemajuan diri mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen PSIS ke-19 di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad memaklumkan, nasib bangsa dan negara adalah bergantung kepada kewibawaan para graduan ini.
“Anda masih muda dan telah didedahkan yang kemunduran seperti masalah sistem politik, ekonomi dan sosial. Tugas dipikul anda berat sebagai jentera dalam membaik pulih perkara itu ke arah lebih baik.
“Ibu bapa dan tenaga pengajar di PSIS telah memberikan didikan sewajarnya dalam aspek kejujuran dan bertanggungjawab. Tanpa punyai sikap tersebut, bagaimana tinggi sijil tidak akan dapat bawa kejayaan sebaliknya meruntuhkan institusi di mana mereka berada serta negara menjadi mundur dan tidak dihormati negara lain,” tegasnya.

Sementara itu, Pengarah PSIS, Haslinda Abd. Hamid berkata, seramai 1,009 graduan menerima diploma dalam konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.
Jelasnya, berdasarkan statistik menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan PSIS adalah 98.1 peratus.
“Di persada antarabangsa, PSIS berjaya membawa pulang Gold Award dan Silver Award dalam International Conference on Global Education 2025 (ICGE-XI).
“Kejayaan luar biasa turut dilakar oleh Pasukan PSIS Roboteam yang terus mendominasi enam tahun berturut-turut dalam kejohanan Malaysia Federation of International Robot Soccer Association (FIRA) Roboworld Cup 2025,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE
The post Graduan PSIS perlu terap sifat amanah, disiplin appeared first on Kosmo Digital.