Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Seorang lagi jemaah haji Malaysia dilaporkan telah meninggal dunia di Tanah Suci semalam akibat serangan jantung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar menerusi hantaran di laman facebooknya berkata, jemaah tersebut bernama Nor Azamuddin Ahmad, 56 tahun dari KT073.
Beliau berkata, arwah menetap di Bangunan Marsa Al Jariah, Maktab 81 (PJH – Mahabbateen) dan ketika di Tanah Suci dia ditemani isterinya, Rozina Saad.
“Pihak Tabung Haji telah menguruskan pengesahan kematian dan memaklumkan berita pemergian kepada waris di tanah air. Segala urusan jenazah akan diuruskan oleh petugas haji, insya-Allah,”tulisnya pada hantaran hari ini.
Mohd Na’im berkata, beliau mewakili seluruh rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga dikurniakan ketabahan dan kekuatan atas ujian ini.
“Marilah kita semua mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Amin ya Rabbal ‘alamin,”katanya.
Kosmo! difahamkan, Allahyarham Nor Azamuddin adalah jemaah haji Malaysia yang ke-14 meninggal dunia di Tanah Suci untuk musim haji kali ini.-KOSMO! ONLINE.
The post Seorang lagi jemaah haji meninggal dunia di Tanah Suci appeared first on Kosmo Digital.