Auto Added by WPeMatico

![]()
YAN – Remaja lelaki yang ditemukan maut di kawasan Rimba Rekreasi Lubuk Kawah, di sini malam ini dikatakan cuba menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam sungai di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, Muhammad Zareef Adam Ramli, 16, bersama adiknya, Muhammad Wafiy Adam serta tiga lagi rakan mandi di kawasan tersebut.
“Pada kira-kira pukul 6 petang, adik mangsa dikatakan terjatuh ke sungai dan mangsa cuba menyelamatkannya sebelum dia turut terjatuh ke dalam sungai.
“Adik mangsa kemudian berjaya naik sendiri ke tebing. Cuaca ketika kejadian adalah selepas hujan dan air sungai berada dalam keadaan deras,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, adik dan rakan-rakan mangsa terus pulang ke rumah sebelum memaklumkan kejadian kepada ibu mangsa yang kemudian menghubungi pihak berkuasa.
“Mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Chempedak 1 ditemukan pada pukul 8.45 malam dalam keadaan tersangkut di tebing sungai, kira-kira 500 meter dari lokasi dia mandi.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Yan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat sebagai mati mengejut,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang remaja lelaki maut dipercayai lemas ketika mandi bersama beberapa rakannya di kawasan sungai berkenaan petang tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Remaja maut ketika mahu selamatkan adik lemas appeared first on Kosmo Digital.