Auto Added by WPeMatico

SABAK BERNAM – Tiga lokasi iaitu di Pahang, Sabah dan Sarawak dikenal pasti sebagai cadangan pembinaan tapak pelancaran roket selaras pelan pembangunan sektor angkasa negara seawal 2029.
Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MySA), Datuk Azlikamil Napiah berkata, semua lokasi itu dicadangkan tiga pihak yang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan.
“Satu laporan kajian telah dihantar kepada MySA bulan ini dan proses penilaian akan dilakukan dalam tempoh 90 hari.
“Banyak pihak berminat (dengan projek itu) namun MySA bagi pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menyediakan garis panduan bagi kajian dan pelaksanaan dasar,” katanya pada program Kampung Angkat Madani MySA di Sungai Panjang di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Pahang menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) akan bekerjasama dengan China Great Wall Industry Corporation (CGWIC) dan Lestari Angkasa Sdn. Bhd. bagi membangunkan Pelabuhan Angkasa Antarabangsa pertama di Asia Tenggara.
Mengulas lanjut, Azlikamil berkta, pembinaan projek mega itu merupakan peluang ekonomi strategik bagi negara di rantau Asia Tenggara.
“Pelancaran roket di Malaysia yang terletak di kawasan Khatulistiwa memendekkan masa dan mengurangkan kos perjalanan ke lokasi geo angkasa lepas. Selain pembinaan tapak pelancaran itu, bandar angkasa akan diwujudkan bagi menempatkan kawasan perindustrian sektor berkenaan,” ujarnya.
Tambah beliau, projek mega itu sebahagian daripada Dasar Angkasa Negara 2030 yang meletakkan tiga matlamat utama termasuk mampu menyumbang sekurang-kurangnya satu peratus atau RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). – KOSMO! ONLINE
The post Pahang, Sabah dan Sarawak dicadang jadi tapak pelancaran roket appeared first on Kosmo Digital.