Auto Added by WPeMatico

![]()
GUA MUSANG – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi membina dan menaik taraf kemudahan fizikal di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Brooke sebagai usaha memperkasa pendidikan anak Orang Asli suku Temiar.
Kemudahan yang disediakan menerusi Program Sekolah Angkat Madani itu merangkumi dataran sekolah, pusat sumber serta bilik darjah yang dilengkapi televisyen dan tablet pintar bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran secara interaktif.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof. Dr. Bariah Mohd. Ali berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha universiti itu membawa pembangunan pendidikan dan komuniti ke kawasan pedalaman.
Katanya, UKM turut melaksanakan bengkel pemantapan guru serta membangunkan Modul Yek Chen Belajar Literasi dan Modul Yek Chen Belajar Numerasi bagi membantu meningkatkan penguasaan asas pembelajaran murid.
“Modul berkenaan merupakan inovasi pendidikan hasil usaha guru tempatan dengan bimbingan Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Komuniti UKM.
“Saya berharap agar program itu menjadi titik tolak bagi pemerkasaan sosioekonomi serta pendidikan berkelanjutan di Pos Brooke. Semoga anak-anak muda di sini terdorong untuk menguasai teknologi dan kemahiran moden tanpa sedikit pun mengikis rasa bangga terhadap adat, budaya dan identiti warisan suku Temiar,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani UKM di Dewan Serbaguna, Pusat Pentadbiran Kecil Pos Brooke, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Tanah Tinggi Lojing di sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, kepakaran UKM diyakini mampu membantu menangani pelbagai permasalahan penduduk Pos Brooke secara berperingkat.
Katanya, pelaksanaan program itu dapat mendorong penduduk untuk lebih terbuka terhadap perubahan dan meningkatkan usaha memajukan komuniti setempat. – KOSMO! ONLINE
The post Peruntukan RM100,000 naik taraf kemudahan sekolah Pos Brooke appeared first on Kosmo Online.
