Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung empat laporan polis yang dibuat oleh ahli politik yang menerima ugutan berkaitan penyebaran video lucah palsu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kes pertama dilaporkan oleh Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, selepas beliau menerima e-mel pada 12 September daripada sumber tidak dikenali yang menuntut bayaran AS$100,000.
Beliau berkata, Chen menerima ugutan bahawa satu video palsu berunsur lucah menggunakan wajahnya akan disebarkan di media sosial sekiranya permintaan itu tidak dipatuhi dalam tempoh tiga hari.
“Kes kedua pula melibatkan Ahli Dewan Negara, Datuk Nelson W Angang yang turut menerima emel pada 12 September daripada sumber tidak dikenali dengan tuntutan jumlah sama.
“Selain itu, polis juga menerima laporan kes serupa daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim, Wong Chia Zhen dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata, semua laporan itu disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“PDRM bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesan pemilik e-mel serta memperoleh maklumat berkaitan untuk siasatan lanjut.
“PDRM memberi amaran keras bahawa mana-mana pihak yang terbabit dalam menghasilkan, menyebarkan atau menggunakan bahan sedemikian akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Polis, MCMC siasat kes ugut sebar video lucah AI ahli politik appeared first on Kosmo Digital.