Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Sesebuah bangsa yang menghargai sasterawan merupakan bangsa yang turut meletakkan ilmu pada kedudukan tinggi dalam membentuk pemikiran generasi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di laman Facebook hari ini berkata, pengiktirafan terhadap tokoh kesusasteraan bukan sekadar mengenang jasa mereka, sebaliknya memastikan karya dan pemikiran yang ditinggalkan terus hidup merentas zaman.
“Sesebuah bangsa yang menghargai sasterawannya ialah bangsa yang menghargai ilmu.
“Seorang sasterawan mungkin pergi, tetapi pemikirannya boleh hidup jauh melangkaui zamannya,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-16 yang berlangsung semalam dan diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Pada majlis berkenaan, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Anugerah Sastera Negara Ke-16 kepada Allahyarham Dr. Abdul Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana.
Menurut Fadhlina, sepanjang hayatnya, Mana Sikana memilih untuk mengabdikan diri kepada dunia penulisan, pemikiran dan ilmu menerusi pelbagai karya yang terus menjadi khazanah kesusasteraan negara.
Katanya, karya seperti Syajar, Nusia, Tanah di Hujung Bendang, Di Hujung Taming Sari dan Pasir-pasir di Pasir Salakterus hidup menembusi zaman serta memperkaya khazanah bahasa Melayu.
“Karya-karyanya bukan sahaja memperkaya khazanah bahasa Melayu, malah mencabar cara kita berfikir dan menjadi rujukan kepada generasi pelajar, pengkaji serta pencinta sastera.
“Sebab itu, pengiktirafan seperti Anugerah Sastera Negara bukan sekadar mengenang jasa seorang tokoh. Ia mengingatkan kita bahawa karya dan ilmu yang ditinggalkan hari ini mampu membentuk pemikiran generasi pada masa hadapan,” katanya.
Fadhlina turut berharap legasi Allahyarham terus menyemarakkan kecintaan generasi muda terhadap budaya membaca, menulis dan dunia kesusasteraan.
“Jasad ada penghujungnya, tetapi ilmu yang ditinggalkan boleh hidup merentas generasi. Al-Fatihah buat Allahyarham Mana Sikana,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Bangsa hargai sasterawan ialah bangsa yang hargai ilmu – Fadhlina appeared first on Kosmo Digital.
