Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Tetap tenang bahkan mengakui sudah cukup kuat, pempengaruh media sosial, Marissa Dania memilih untuk menerima takdir Ilahi apabila rumah tangganya bersama Ahmad Aslam sekali lagi berakhir dengan perceraian.
Ujar Marissa atau nama sebenarnya Marissa Dania Hakim, 21, segala ketentuan diterima dengan lapang dada meskipun hakikat tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk ditelan.
“Insya-Allah saya kuat. Saya okey dan reda. Semoga yang baik-baik sahaja selepas ini.
“Doakan saya,” katanya ringkas selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Ketika diajukan persoalan mengenai hubungan dengan bekas suami selepas ini, sama ada masih mampu menjalin persahabatan atau sebaliknya, Marissa mengambil pendekatan berdiam diri.
“Saya tidak mahu ulas lebih lanjut mengenai perkara itu.
“Biarlah perkara ini kekal sebagai urusan peribadi,” ujarnya.
Anak kepada pelakon Abby Abadi itu juga enggan mengulas lanjut tentang perasaan sebenar atau memperincikan detik sukar yang dilaluinya sepanjang kemelut rumah tangga tersebut.
Terdahulu, peguam syarie mewakili Ahmad Aslam, Muhammad Ammar Yaser mengesahkan pasangan tersebut bukan lagi suami isteri selepas mahkamah membuat keputusan berhubung status perkahwinan mereka.
Keputusan itu sekali gus menutup episod panjang hubungan yang sebelum ini menjadi perhatian ramai.
Terdahulu, Aslam memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk pada 10 Mac lalu selepas melalui beberapa episod perpisahan dan rujuk sejak tahun 2024.
Pasangan itu pernah melafazkan cerai dan rujuk sebanyak dua kali sebelum ini, termasuk pada September 2024 dan April tahun sama, sebelum kembali rujuk beberapa bulan kemudian.
Perkahwinan mereka sebelum ini turut mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 ketika Aslam masih bergelar suami kepada pempengaruh Umisya Mazlan.
Situasi tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen apabila pernikahan didakwa berlangsung tanpa pengetahuan keluarga kedua-dua belah pihak. – KOSMO! ONLINE.
The post ‘Saya kuat, okey dan reda, semoga baik-baik sahaja’ appeared first on Kosmo Digital.
