Auto Added by WPeMatico

SKUAD Terengganu FC (TFC) bakal melangkah musim baharu Liga Malaysia (Liga M) yang bakal bermula bulan Ogos depan tanpa ketua pasukan mereka, Safawi Rasid.
Jurucakap Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) berkata, pemain lain yang turut angkat kaki ialah Mohd. Nor Hakim Hassan, Muhammad Syafik Ismail dan Muhammad Syaiful Haqim Shahrul.
“Lima pemain import juga telah digugurkan iaitu Ivan Mamut, Manuel Ott, Nelson Bonilla, Ismaheel Akinade dan Argzim Redzovic. Nurillo Tukhtasinov satu-satunya pemain import yang akan dikekalkan,” katanya di Kuala Terengganu semalam.
Jurucakap TFCSB berkata, khidmat Azam Azmi Murad yang juga pemain pinjaman JDT terus ditagih bagi memperkukuhkan benteng pertahanan skuad Sang Penyu, manakala Akhyar Rashid yang masih memiliki kontrak sehingga tahun 2027 terus menjadi tonggak TFC.
“Kekosongan sembilan pemain yang meninggalkan TFC pula akan diisi segera. Setakat ini, seramai lima pemain tempatan dan dua import telah dikenalpasti untuk dibawa masuk pada jendela perpindahan pertama yang akan berakhir 31 Ogos ini,” katanya.
Jurucakap TFCSB berkata, rundingan persetujuan kedua-dua pihak telah dicapai dan senarai penuh barisan pemain baharu itu akan diumumkan secara rasmi selewat-lewatnya pada 5 Julai depan.
Beliau berkata, rombakan besar-besaran tersebut merupakan sebahagian daripada pelan taktikal dan pembangunan semula skuad Sang Penyu sempena musim baharu Liga M.
The post TFC tanpa sembilan pemain termasuk Safawi appeared first on Kosmo Digital.