Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan memungkiri janji untuk menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 pada penghujung September ini seperti yang diumumkan terdahulu.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat akan menantikan perkhabaran baik tersebut dan tidak termakan tohmahan pembangkang bahawa pihaknya hanya memungkiri janji yang telah dibuat.
“Ada yang marah harga minyak belum turun walaupun sudah September, sebelum ini saya kata sebelum akhir September, kalau 10 September belum akhir bulan lagi, jadi sabarlah, tunggu sekejap sama ada akan turun atau tidak.
“Jika bukan rakyat Malaysia, mungkin kena bayar harga RM2.50 atau RM2.60, tetapi rakyat hanya bayar RM1.99 sahaja. Tengoklah mana-mana negara lain, mana ada yang turun harga minyak, tiada,” katanya ketika berucap pada program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Hotel Grand Paragon, di sini hari ini.
Tambah beliau, perkara tersebut boleh dilaksanakan pihaknya ketika ini adalah disebabkan pentadbiran kerajaan Persekutuan hari ini peduli dan cakna dengan keluhan masyarakat.
“Selain itu, ada pihak tanya banyak lagi (janji) belum buat, ya betul banyak lagi yang belum buat, tetapi masa kamu (pembangkang) perintah apa yang kamu buat, kita akan lakukan yang terbaik demi rakyat,” ujarnya lanjut.
Pada 23 Julai lalu, Anwar mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak sekaligus memberi manfaat kepada kira-kira 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk pekerja gig. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Sabarlah, harga RON95 RM1.99 akhir September ini’ – Anwar appeared first on Kosmo Digital.