Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Sembilan lot tanah di tiga buah negeri dan barangan kemas antara aset bernilai RM8 juta yang disita susulan penahanan empat individu disyaki menyeleweng dana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Penahanan kesemua suspek berusia 30-an itu dilakukan dalam tempoh tiga jam bermula pukul 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka dekat sini.
Menurut sumber, tiga daripada suspek yang ditahan tersebut merupakan Ahli Jawatankuasa NGO berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati kesemua suspek telah bersubahat bersama pengerusi NGO tersebut yang telah menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana bagi kepentingan peribadi.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2015 hingga 2025.
“Susulan penahanan tersebut, SPRM aset bernilai keseluruhan kira-kira RM8 juta,” katanya hari ini.
Sumber memaklumkan, aset tersebut termasuk wang tunai berjumlah kira-kira RM900,000, barangan kemas dan empat unit rumah di Melaka.
Tambahnya, turut disita adalah sembilan lot tanah di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor.
“Pembekuan 14 akaun yang terdiri daripada lapan akaun individu dan enam akaun syarikat berjumlah kira-kira RM5 juta turut dilakukan,” katanya.
Justeru itu, keempat-empat suspek termasuk dua wanita tersebut kini direman selama tujuh hari sehingga 18 Jun depan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Melaka, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Tuan Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE
The post Aset RM8 juta disita, empat direman seleweng dana NGO appeared first on Kosmo Digital.