Auto Added by WPeMatico

![]()
TELUK INTAN – Minyak diesel bernilai RM1,525,190 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam serbuan Ops Tiris di sebuah jeti perikanan di Hutan Melintang di sini pada pukul 5 pagi semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi itu dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan selama sebulan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan serta penyelewengan barang kawalan, khususnya minyak diesel bersubsidi di sekitar kawasan Hutan Melintang.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati terdapat aktiviti sebuah lori tangki memasuki jeti di kawasan berkenaan bagi mengambil minyak diesel yang disimpan di dalam dua buah tangki skid.
“Kedua-dua tangki skid tersebut dipercayai menyimpan minyak diesel nelayan yang telah disedut dan dipindahkan tanpa kebenaran daripada sebuah bot nelayan Kelas C pemilik jeti berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, bertindak atas maklumat risikan tersebut, pasukan penguat kuasa telah menjalankan serbuan ke atas jeti berkenaan.
Katanya, seramai tiga orang lelaki warga tempatan masing-masing berumur 33 hingga 42 tahun iaitu pemandu lori bersama kelindan serta pemilik jeti perikanan tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Berdasarkan siasatan awal, minyak diesel nelayan yang dibeli pada harga RM1.65 seliter dipercayai dijual semula di pasaran gelap pada harga hampir RM4 lebih bagi seliter.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pasukan penguat kuasa telah menemukan sebanyak 43,000 liter minyak diesel,” katanya.
Beliau berkata, semakan dan siasatan awal mendapati terdapat aktiviti pemindahan minyak diesel tanpa kebenaran yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, selain disyaki mempunyai unsur penyelewengan minyak diesel nelayan bersubsidi.
“Sehubungan itu, tindakan sitaan telah dilaksanakan melibatkan sebuah bot nelayan Kelas C berkapasiti 14,000 liter, sebuah lori tangki berkapasiti 43,000 liter berserta anak kunci, dua buah tangki skid, 43,000 liter minyak diesel, hos dan peralatan pemindahan minyak, sebuah pam elektrik (hidraulik) serta beberapa dokumen berkaitan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,525,190. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Diesel diseleweng bernilai lebih RM1.5 juta disita di Hutan Melintang appeared first on Kosmo Online.
