Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Motif kejadian seorang remaja perempuan cedera dilibas menggunakan pisau ketika membonceng motosikal di Jalan Tangga Batu, di sini semalam, dipercayai berkaitan suspek yang menyimpan perasaan terhadap mangsa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, perkara itu berdasarkan hasil soal siasat yang dijalankan terhadap suspek berusia 25 tahun selepas dia ditahan kira-kira pukul 11 malam di sekitar Tangga Batu.
Ujarnya, siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan bagi memastikan sama ada tindakan melibas mangsa menggunakan pisau dilakukan selepas mangsa menolak cintanya atau perasaan cemburu.
“Hasil soal siasat dilakukan, suspek ini memberitahu dia minat pada mangsa.
“Bagaimanapun sama ada dia melibas mangsa kerana remaja itu menolak cintanya masih dalam siasatan,” ujarnya ringkas.
Terdahulu, Kosmo! malam tadi melaporkan seorang remaja perempuan cedera selepas dipercayai dilibas dengan objek tajam oleh individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal di Jalan Tangga Batu, Tanjung Kling kira-kira pukul 4.45 petang.
Christopher berkata, akibat kejadian itu mangsa berusia 19 tahun yang bekerja sebagai operator kilang mengalami luka sepanjang kira-kira tujuh sentimeter di bahagian pinggang belakang.
Mangsa yang berasal dari Tangkak, Johor bagaimanapun mendakwa dia tidak mempunyai sebarang perselisihan faham dengan sesiapa atau mengenali individu yang disyaki terlibat kerana baru tiga minggu bekerja di sebuah kilang di negeri ini.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan di rumahnya di sekitar Tangga Batu pada pukul 11 malam tadi selepas mengaku melakukan perbuatan itu dan menunjukkan sebilah pisau sepanjang kira-kira 27 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam serangan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Suspek libas remaja guna pisau sebenarnya minat pada mangsa appeared first on Kosmo Digital.