Auto Added by WPeMatico

![]()
MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Michael Carrick menyifatkan kegagalan pasukannya mempertahankan kelebihan dua gol sebagai satu keputusan yang tidak boleh diterima selepas The Red Devils dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada Brighton & Hove Albion dalam aksi Piala Liga Inggeris (EFL) di Old Trafford, awal pagi semalam.
Tuan rumah sebelum itu bermula dengan garang di hadapan penyokong sendiri apabila pemain muda berusia 19 tahun, Shea Lacey dan perancang tengah, Mason Mount masing-masing meledak gol dalam tempoh 10 minit pertama perlawanan.
Bagaimanapun, kelebihan itu gagal dipertahankan apabila Brighton mempamerkan kebangkitan luar biasa menerusi jaringan Charalampos Kostoulas, Pascal Gross dan Maxim De Cuyper untuk menyingkirkan United, sekali gus melakar kemenangan kelima Brighton daripada enam kunjungan terakhir mereka ke gelanggang keramat itu.
Carrick mengakui bertanggungjawab sepenuhnya kekalahan tersebut terutama aksi hambar pasukannya terutama pada separuh masa kedua.
“Kami tidak boleh menerima kekalahan dan saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya, terutamanya persembahan longlai pada penghujung babak kedua yang berpunca daripada kesilapan saya.
“Kami semua perlu beraksi lebih baik. Sekarang kami sudah tersingkir daripada pertandingan ini dan perlu kembali mencari rentak kemenangan secepat mungkin. Suasana ketika ini memang amat mengecewakan,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan United hanya meraih dua kemenangan daripada enam perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.
Mengulas mengenai masa depannya, Carrick menegaskan tidak berasa terancam dengan kedudukannya terutama permulaan hambar.
“Saya tidak rasa tertekan. Saya faham apa yang berlaku di luar dan bagaimana dunia bola sepak berfungsi, tetapi perkara itu tidak mengganggu fokus saya,” katanya. – AGENSI
The post EFL: Carrick berang aksi hambar United appeared first on Kosmo Online.
