Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA – Siasatan terhadap mana-mana kes rasuah boleh dijalankan tanpa mengira tempoh masa, termasuk kes lama yang sebelum ini pernah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, undang-undang tidak menetapkan sebarang tempoh had bagi kesalahan jenayah, sekali gus membolehkan siasatan diteruskan sekiranya wujud bukti baharu.
“Pertamanya berhubung dengan mana-mana kes jenayah dia tidak ada tempoh had,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian nota kerjasama antara SPRM dan Jabatan Wilayah Persekutuan, hari ini.
Menurut beliau, siasatan boleh dibuka semula sekiranya terdapat bukti baharu, dokumen palsu atau petunjuk tambahan yang mengaitkan kesalahan jenayah.
“Mana-mana kes walaupun kes itu mungkin pada ketika dahulu mengatakan tidak ada kes tapi sekiranya ada bukti-bukti palsu, baru ataupun petunjuk baharu, SPRM akan menjalankan siasatan,” katanya.
Azam berkata, tindakan tersebut selaras dengan peranan SPRM untuk memastikan sebarang unsur rasuah atau salah guna kuasa tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Tambah beliau, terdapat banyak kes terdahulu yang terus disiasat semula apabila wujud perkembangan baharu yang memerlukan tindakan lanjut.
“Banyak perkara telah dilihat di mana banyak kes-kes yang terdahulu sama ada tuan-tuan suka tak suka, kita meneruskan siasatan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan keadilan ditegakkan serta bagi mengekang rasuah daripada terus berulang.
Tegasnya, SPRM akan terus melaksanakan siasatan secara profesional dan berlandaskan undang-undang demi melindungi kepentingan awam. – KOSMO! ONLINE
The post Siasatan tiada tempoh had, kes lama boleh dibuka semula – SPRM appeared first on Kosmo Digital.
