Auto Added by WPeMatico

![]()
KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya melumpuhkan kegiatan mengedar dan menjual rokok seludup kepada warga asing di sekitar daerah selepas melakukan serbuan di sebuah rumah di Indera Mahkota di sini kelmarin.
Dalam serbuan hasil maklumat awam dan risikan JKDM itu berjaya merampas rokok putih pelbagai jenis bernilai kira-kira RM1.62 juta termasuk nilai duti kastam.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi ke premis kediaman yang menjadi tempat simpanan rokok itu menemukan rokok yang kebanyakannya jenis kretek.
“Semasa serbuan premis kediaman itu dalam keadaan kosong tidak berpenghuni dan berdasarkan penemuan atau kesan di premis terbabit, kita percaya ia pernah didiami lebih daripada seorang penghuni.
“Kita juga sedang menyiasat pemilik asal premis kediaman itu yang kita percaya menyewakan premis berkenaan kepada kumpulan penyeludup rokok ini,”katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kuantan di sini, hari ini.
Mohd Asri memaklumkan, hasil pemeriksaan di premis itu membawa kepada penemuan 1,586,660 batang rokok putih pelbagai jenis dan jenama.
Katanya, nilai rokok seludup itu dianggarkan kira-kira RM262,000 dengan duti dan cukai pula melebihi RM1.3 juta.
“Kita percaya bekalan rokok ini untuk jualan kepada warga asing yang berada di Kuantan dan kawasan berdekatan, namun warga tempatan pun mungkin menjadi sasaran kumpulan penyeludup ini.
“Secara keseluruhan jumlah rampasan serta duti dan cukai bagi kes ini bernilai RM1.62 juta,”katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan siasatan giat dilakukan. – KOSMO! ONLINE
The post Kastam rampas rokok seludup bernilai RM1.62 juta appeared first on Kosmo Digital.