Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Polis sedang giat mengesan suspek berusia 46 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian petugas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang cedera diserang di premis cuci kereta di Jalan Kerinchi, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai lapan rekod kesalahan jenayah dan empat dadah.
“Suspek bukan pekerja di kedai cuci kereta berkenaan. Suspek yang juga penganggur itu kini sedang giat dikesan untuk tindakan lanjut.
“Senjata jenis pisau rambo yang digunakan suspek dalam kejadian itu dipercayai masih berada dengannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Chang Hook berkata, pihaknya sudah merakam keterangan empat saksi terdiri daripada tiga rakan sekerja pengadu dan seorang pekerja premis cuci kereta bagi membantu siasatan.
Menurutnya, pegawai AADK berusia 48 tahun itu dijangka dibenarkan keluar hospital, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324/186 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang petugas AADK cedera diserang dalam operasi di premis cuci kereta di Jalan Kerinchi.
Mangsa dilaporkan cedera di tapak tangan dan ibu jari kanan akibat ditoreh dengan pisau oleh lelaki dipercayai penagih dadah.
Suspek pada mulanya sudah ditahan namun enggan melakukan ujian saringan air kencing, sebelum bertindak agresif serta melarikan diri. – KOSMO! ONLINE
The post Serang AADK: Suspek guna pisau ‘rambo’ ada 8 rekod jenayah appeared first on Kosmo Digital.
