Auto Added by WPeMatico

ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) berpandangan, mekanisme penggenapan bagi urusan pembayaran yang dilakukan secara digital tidak lagi relevan pada masa ini.
Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) boleh melihat semula perkara itu kerana pembayaran secara dalam talian dapat dibuat mengikut amaun tepat termasuk sen.
“Pada hari ini kebanyakan pengguna menggunakan kaedah pembayaran digital seperti kod QR, e-wallet dan perbankan internet, jadi mekanisme penggenapan yang dilaksanakan sejak 2008 ini perlu dilihat semula.
“Bagi pembayaran secara tunai, Cake tidak ada halangan bagi pelaksanaan mekanisme penggenapan tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, pembayaran mengikut amaun tepat dilihat lebih adil kepada pengguna dan juga pihak syarikat.
Justeru, beliau berharap agar mekanisme penggenapan tidak dikenakan kepada pembayaran secara digital.
“Peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan juga menyebabkan lebih banyak jumlah sen-sen dalam resit bayaran. Kita harap pembayaran dapat dikira secara tepat supaya tidak ada pihak yang untung atau rugi,” tambahnya.
Terdahulu, Kosmo! Online, semalam melaporkan rasa tidak puas hati seorang pengguna apabila sebuah kedai serbaneka telah menggenapkan amaun pembelian berbanding jumlah sebenar.
Dakwa pengguna terbabit, walaupun perbezaan amaun itu hanya ‘sen-sen’ sahaja tetapi jika melibatkan jumlah pelanggan yang ramai, tindakan itu mampu membawa keuntungan yang lebih kepada kedai serbaneka itu.
Menerusi perkongsian di laman sosial, jumlah yang dibeli oleh individu terbabit adalah sebanyak RM12.03, tetapi pada resit kedai serbaneka, dia perlu membayar RM12.05. – KOSMO! ONLINE
The post Genap amaun bagi pembayaran digital tidak relevan – Cake appeared first on Kosmo Digital.