Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Bapa kepada bayi Qaseh Aulia yang meninggal dunia di sebuah taska tiga tahun lalu, menegaskan perjuangan mereka membawa kes tersebut ke mahkamah bukan untuk membalas dendam sebaliknya menuntut keadilan buat anak mereka.
Bapa mangsa, Faizul Ali Adam, 36, berkata walaupun tiada hukuman yang mampu menggantikan nyawa anak mereka, keluarga itu tetap menerima keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap tertuduh dengan hati terbuka.
“Walaupun hukuman ini tidak mampu mengembalikan nyawa anak kami, sekurang-kurangnya ia memberi sedikit kelegaan dan menjadi peringatan kepada masyarakat.
“Kami bukan mahu membalas dendam, tetapi hanya menuntut keadilan sepenuhnya untuk anak kami,” katanya.
Menurut Faizul, sepanjang tiga tahun kes itu berlangsung, mereka teruskan perjuangan di mahkamah demi memastikan keadilan dapat ditegakkan selain memberi kesedaran kepada masyarakat.
Sementara itu, isteri Faizul, Maisarah Rosli, 36, meluahkan rasa syukur selain menghormati keputusan mahkamah, namun mengakui kehilangan anaknya masih dirasai sehingga kini.
“Saya berharap insiden ini menjadi titik perubahan supaya pihak berkaitan lebih serius dalam menangani isu keselamatan kanak-kanak di taska.
“Saya tidak mahu ibu bapa lain melalui apa yang kami lalui. Sudah tiga tahun kami tidak dapat melihat dia membesar,” katanya sebak.
Menurutnya, setiap hari dia menziarahi pusara anaknya bagi melepaskan rindu yang tidak pernah padam.
“Saya pergi kubur dia hampir setiap hari, bercakap dengannya walaupun saya tahu dia tidak mendengar, tetapi itu cara saya ubati rindu,” katanya.
Terdahulu, bekas pengasuh Qaseh Aulia dihukum lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian kepada bayi itu.
Hakim Dr. Syahlizah Warnoh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mulyati Kalim, 54, yang merupakan warga Indonesia itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh sabitan hari ini selain tertuduh perlu menjalani bon berkelakuan baik dalam tempoh tiga tahun dengan dua penjamin warganegara tempatan, berserta cagaran RM5,000.
Selain itu mahkamah turut mengarahkan Mulyati menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dan perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan.
Mengikut pertuduhan, Mulyati didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi perempuan bernama Qaseh Aulia Faizul yang berusia dua bulan 26 hari (usia sewaktu kejadian) telah bertindak secara cuai sehingga menyebabkan kematian kepada kematian kepada bayi itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Kota Damansara di sini pukul 9.40 pagi pada 10 Oktober 2023 yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Justeru, hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
The post Bukan balas dendam tapi keadilan untuk anak – Bapa Qaseh Aulia appeared first on Kosmo Digital.
