Auto Added by WPeMatico

ASSALAMUALAIKUM, adakah hibah merupakan helah untuk lari daripada faraid?
JAWAPAN: FARAID merupakan suatu sistem pembahagian harta yang ditetapkan oleh syarak selepas berlakunya kematian seseorang.
Berdasarkan sistem faraid, setiap waris yang berhak akan menerima bahagian pusaka mereka berpandukan garis panduan dan kadar yang telah ditentukan melalui firman Allah SWT dan juga sabda Nabi Muhammad SAW.
Pada masa sama, syarak juga membenarkan beberapa instrumen kewangan Islam yang lain seperti sedekah, wasiat dan hibah sebagai alternatif dalam merancang dan mengurus harta seseorang, lebih-lebih lagi dalam hal perancangan awal pewarisan harta.
Antara mekanisme yang dilihat banyak digunakan dalam hal perancangan harta semasa hidup ialah hibah. Hibah menurut istilah fiqh bermaksud pemberian hak milik kepada seseorang tanpa balasan (‘iwadh) sewaktu hidupnya secara sukarela.
Hukum syarak memberikan kebebasan kepada seseorang itu untuk melakukan pemberian hibah tanpa terikat dengan kadar tertentu.
Bahkan, dia berhak dan boleh menghibahkan keseluruhan hartanya kepada sesiapa yang dikehendaki.
Dalam konteks Malaysia, penggunaan hibah terutamanya hibah bersyarat dan hibah takaful diguna pakai secara meluas sebagai kaedah perancangan harta Islam. Namun, ada pihak yang mempersoalkan niat di sebalik pemberian hibah ini, terutamanya apabila ia dilihat sebagai usaha untuk menyisihkan waris-waris yang berhak melalui sistem faraid.
Sesetengah pihak mendakwa mereka yang mengambil hibah ini seakan-akan berbuat helah dengan harapan sementelah mereka meninggal dunia, harta peninggalan mereka akan dipindah milik kepada individu dikehendaki dan tidak pula sampai kepada orang lain.
Pada dasarnya, hibah banyak memainkan peranan penting terhadap sistem faraid khususnya dalam situasi tertentu. Contohnya, memberi keutamaan kepada ahli keluarga yang kurang berkemampuan, menjaga kebajikan anak angkat atau memberikan bahagian kepada individu tidak layak menerima pusaka tanpa menyalahi prinsip dan ketentuan faraid.
Untuk makluman, sistem faraid akan mula berkuat kuasa selepas berlakunya kematian dan kebiasaannya proses pengurusan tersebut akan mengambil masa yang agak lama dan melibatkan banyak prosedur.
Melalui hibah, pembahagian harta dapat dibuat secara lebih fleksibel dan terancang semasa hidup. Bukan itu sahaja, dengan memberi hibah semasa hidup, jumlah harta pusaka yang perlu diagihkan selepas kematian menjadi lebih kecil.
Kesimpulannya, hibah bukanlah suatu helah selagi ia dibuat dengan niat yang betul dan mengikut syarat sah ditetapkan oleh syarak.
Bahkan, ia bertindak sebagai pelengkap kepada sistem faraid. Dan kita katakan ya benar, hibah menjadi helah sekiranya ia digunakan bertujuan menafikan hak waris secara tidak adil.
The post Buat hibah untuk ‘lari’ daripada faraid? appeared first on Kosmo Digital.