Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Jersi baharu pasukan bola sepak kebangsaan yang diilhamkan daripada corak belang badan Harimau Malaya kini berada di pasaran menjelang kejohanan sulung Piala ASEAN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2026 di Indonesia, bermula Jumaat hingga 5 Oktober ini.
Menurut Puma selaku penaja rasmi Harimau Malaya, jersi ‘home‘ baharu menampilkan jalur berwarna hitam dan kuning, manakala jersi ‘away‘ menggunakan tona warna biru kelabu dengan kemasan merah dan putih pada bahagian kolar.
Jersi versi peminat berharga RM319, manakala edisi versi pemain dijual pada harga RM549.
Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Jakarta pada Selasa untuk bersaing dalam Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 dan diundi dalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah Indonesia, Singapura dan Bangladesh.
Kumpulan B pula merangkumi Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan.
Malaysia yang berada pada kedudukan ke-136 dunia akan memulakan kempen menentang Bangladesh yang menduduki ranking ke-181 di Gelora Bung Karno, Jakarta, Jumaat ini.
Skuad kebangsaan kemudian akan bertemu Indonesia yang berada di kedudukan ke-118 dunia di venue yang sama (28 September) sebelum mengakhiri kempen Kumpulan A berdepan pasukan ranking ke-148 dunia, Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung (1 Oktober).
Mengikut format kejohanan, juara Kumpulan A dan Kumpulan B akan bertemu dalam perlawanan akhir di Gelora Bung Karno pada 5 Oktober, manakala naib juara kedua-dua kumpulan akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di venue sama pada aksi sebelah siang, hari yang sama. – BERNAMA
The post Harimau Malaya bawa ‘belang’ baharu ke Indonesia appeared first on Kosmo Online.
