Auto Added by WPeMatico

BINTANG sensasi negara, Arif Aiman Hanapi mahu mengambil sikap lebih positif mengenai penarikan diri Harimau Malaya daripada Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025.
Walaupun ada yang melabel skuad negara ‘mengundur ke belakang’ dengan memilih pasukan ranking bawah iaitu Singapura di kedudukan 159 dunia dan Palestin (98), Arif Aiman enggan ambil pusing kerana keutamaan adalah memperbaiki pasukan ke arah lebih baik.
“Sebagai pemain saya tak ambil tahu pun, saya hanya fokus untuk apa yang ada di depan.
“Macam saya katakan, persediaan amat penting untuk kita hadapi perlawanan persahabatan. Ia adalah persedian yang agak baik untuk kita harungi perlawanan akan datang,” katanya pada Majlis Menandatangani Duta Bola Sepak Baharu jenama antarabangsa, PUMA semalam.
Pemilihan Singapura dan Palestin mendapat kecaman peminat apabila melabelnya keputusan kurang tepat memandangkan aksi CAFA 2025 dilihat lebih berkualiti kerana turut membabitkan negara ranking atasan termasuk kedua terbaik Asia, Iran yang menduduki tempat ke-20 dunia.
Selepas Singapura dan Palestin, Harimau Malaya bakal berdepan tiga lagi tugasan penting di kelayakan Piala Asia 2027, menentang Laos (9 dan 14 Oktober) diikuti pertembungan dengan Nepal pada 18 November.
Sementara itu, Arif Aiman menganggap satu penghargaan besar buat dirinya selepas diberikan kepercayaan oleh ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz sebagai kapten pada aksi pramusim sebelum ini.
“Peluang yang berharga tetapi saya tak anggap itu sebagai satu beban. Ini peluang untuk saya lebih menunjukkan diri sebagai pemain dan rasa (sebagai) kapten, malah saya dapat belajar dari semasa ke semasa,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Arif Aiman tak kisah lawan Singapura, Palestin appeared first on Kosmo Digital.