Auto Added by WPeMatico

![]()
INDONESIA, Singapura dan Bangladesh mempunyai sebab untuk berasa gusar dengan kualiti serangan Harimau Malaya yang kini dilihat mempunyai lebih banyak pilihan untuk melunaskan tanggungjawab mencetak jaringan.
Kehadiran bintang naturalisasi baharu, Bergson Da Silva menjadikan ‘taring’ Harimau Malaya kini makin tajam untuk mengharungi kempen Piala ASEAN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Selain elemen kekuatan fizikal yang ada pada Bergson, kelincahan Arif Aiman Hanapi serta kepantasan Faisal Halim akan melengkapkan kesempurnaan jentera serangan negara yang turut memiliki pilihan lain seperti Manuel Hidalgo dan Romel Morales.
Kapten Kuala Lumpur City, Paulo Josue yang berada dalam senarai bersedia mengakui jentera serangan Malaysia kini dilihat lebih ampuh dalam aspek ketajaman dan kekuatan fizikal sekali gus menjadi ‘senjata’ utama kepada skuad negara kali ini.
“Ia sesuatu yang hebat dan saya fikir (kehadiran Bergson) akan beri nilai tambah kepada pasukan kebangsaan. Bergson adalah pemain terbaik sejak lima tahun lalu dan saya fikir mereka akan menawarkan sesuatu yang bagus buat skuad negara.
“Satu penambahan yang bagus. Jika saya memiliki Bergson dan Faisal Halim, ia adalah gandingan yang bagus di jentera serangan dan saya tetap berasa gembira untuk berada di bangku simpanan untuk memberikan sokongan.
“Apa pun, kita perlu tunggu dan lihat apa yang bakal dipersiapkan oleh jurulatih untuk menghadapi perlawanan itu nanti,” katanya yang sebelum ini sering menjadi taruhan utama di jentera serangan skuad negara dan KL City.
Malaysia yang kini di ranking ke-136 dunia akan membuka saingan berdepan pasukan ranking ke-181 dunia, Bangladesh di Gelora Bung Karno, Jumaat ini diikuti Indonesia, Isnin ini sebelum melengkapkan aksi Kumpulan A menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung (1 Oktober).
Juara Kumpulan A dan juara Kumpulan B bakal berentap pada aksi Final di Gelora Bung Karno pada 5 Oktober manakala naib juara setiap kumpulan akan bertemu untuk penentuan tempat ketiga di venue dan hari yang sama.
The post Piala ASEAN FIFA: Jentera serangan cukup sempurna appeared first on Kosmo Online.
