Auto Added by WPeMatico

BESUT – Seramai 18 pengendali bot penumpang dan nelayan dikompaun melibatkan amaun keseluruhan RM416,000 atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Perhentian dekat sini.
Penguatkuasaan operasi selama dua hari berakhir semalam melibatkan 17 bot penumpang dan sebuah nelayan.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pemeriksaan mendapati kesemua bot terbabit melakukan pelbagai kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Perikanan 1985.
” Antara kesalahan dikesan membawa penumpang melebihi had dihadkan, tidak memiliki insurans, beroperasi tanpa lesen sah dan tidak menyediakan peralatan keselamatan nyawa.
“Pemeriksaan juga mengesan segelintir pengendali itu menyalahguna bot nelayan dan kargo untuk membawa penumpang selain nakhoda bot tiada perakuan kompetensi,” katanya di sini hari ini.
Hamiludin berkata, operasi sama turut menahan 32 individu berusia 20 hingga 50 tahun termasuk tekong dan pemandu bot untuk membantu siasatan lanjut.
Beliau berkata, kesemua bot terbabit disita dan ditunda ke Jeti Maritim Kuala Besut di sini untuk tindakan lanjut.
“Tindakan pengusaha terbabit mengabaikan aspek keselamatan yang berisiko mengundang tragedi demi keuntungan amat dikesali,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 18 bot Pulau Perhentian abai keselamatan didenda RM416,000 appeared first on Kosmo Digital.