Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dijangka diadakan sebelum penghujung tahun ini dengan mengambil kira tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berakhir pada Februari 2027.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tarikh PRN Sarawak kini menjadi ‘rahsia terbuka’ susulan pilihan raya lalu pernah berlangsung pada Disember 2021.
Beliau berkata, walaupun tempoh lima tahun dikira bermula daripada sidang pertama DUN Sarawak pada Februari 2022, namun tidak mungkin Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunggu sehingga tamat tempoh penuh penggal berkenaan.
Tambah beliau, tindakan menunggu sehingga DUN terbubar secara automatik membawa risiko politik yang lebih besar sekiranya berlaku perkara tidak dijangka pada saat akhir.
“Adalah terlalu berisiko untuk menunggu sehingga DUN tamat tempoh dengan sendirinya. Jika berlaku sesuatu pada ketika itu, ruang untuk melakukan kawalan kerosakan adalah sangat terhad. Itulah sebabnya pilihan raya perlu diadakan lebih awal.
“Empat bulan dalam politik adalah tempoh yang sangat singkat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Alumni Ummatik Universiti Islam Antarabangsa Sarawak (UIAM) di Kuching semalam.
Tambah Abdul Karim Rahman, mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak mesti bersedia untuk berundur dan menerima keputusan parti mereka sekiranya mereka tidak dicalonkan semula
“Pemimpin politik mesti bersedia memberi laluan kepada generasi baharu apabila parti menganggapnya perlu. Sesiapa sahaja yang berkhidmat sebagai wakil rakyat di Sarawak, sama ada penggal pertama, ketiga, kelima atau keenam, mesti sentiasa bersedia.
“Apabila tiba masanya untuk kita berundur, maka kita harus berundur. Tidak sepatutnya ada keengganan untuk melepaskan, atau pemikiran untuk mengatakan ‘Jika saya tidak dicalonkan, saya akan bertanding menentang parti.’ Itu tidak sepatutnya menjadi sikap,” katanya.
Beliau turut memberi bayangan akan memberi laluan kepada muka baharu setelah berkecimpung dalam politik selama 25 tahun dan kini sedang menjalani penggal kelimanya.
“Sebagai ahli politik, apabila tiba masanya untuk kita berundur dan parti percaya bahawa sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada ahli baharu, kita mesti menerimanya. Bagi saya, saya bersedia untuk sebarang kemungkinan, sama ada sekarang atau pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN
The post PRN Sarawak hujung tahun? appeared first on Utusan Malaysia.
