Auto Added by WPeMatico

WASHINGTON — Presiden Donald Trump memberitahu pemimpin-pemimpin Eropah semasa panggilan telefon semalam bahawa beliau tidak berhasrat membincangkan sebarang kemungkinan pembahagian wilayah apabila bertemu Presiden Vladimir Putin di negeri Alaska lewat minggu ini, lapor saluran berita NBC.
Dalam panggilan telefon yang turut disertai Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky itu Trump memberitahu, beliau akan berjumpa Putin dengan satu matlamat iaitu mendapatkan gencatan senjata di Ukraine.
Trump dan barisan pemimpin Eropah bersetuju bahawa gencatan senjata di Ukraine perlu dilaksanakan sebelum rundingan damai boleh bermula.
Beberapa pemimpin Eropah bagaimanapun menganggap Trump tidak begitu optimis mengenai hasil mesyuaratnya dengan Putin.
Panggilan telefon semalam berlaku hanya beberapa hari sebelum pertemuan Trump dan Putin yang dijadualkan esok.
Pegawai Eropah dan Ukraine bimbang mengenai pertemuan Trump dengan pemimpin Russia itu sejak beliau mengumumkannya pada minggu lalu.
Antara kebimbangan mereka adalah Trump dan Putin mungkin bersetuju mengadakan pembahagian wilayah Ukraine dan kemudian menekan Kyiv supaya akur dengan keputusan tersebut.
Komen Trump minggu lalu bahawa akan ada ‘pertukaran tanah’ antara Russia dan Ukraine membuatkan Zelensky dan pemimpin-pemimpin Eropah lain cemas.
Bagaimanapun, dua pegawai Eropah dan tiga sumber lain yang diberi taklimat mengenai panggilan semalam berkata, semua pemimpin bersetuju Ukraine mesti dimasukkan dalam rundingan tersebut dan harus menjadi pihak yang akan memutuskan wilayah mana yang jika mungkin, perlu diserahkan.
Mereka juga meminta Trump mengenakan sekatan baharu lebih ‘menghukum’ ke atas Russia jika Putin menolak gencatan senjata.
“White House tidak membincangkan butiran perbualan peribadi Presiden. Namun, Trump telah menjelaskan bahawa beliau mahu menamatkan perang ini dan menghentikan pembunuhan, manakala mesyuarat pada Jumaat(esok) dengan Putin akan menjadi detik penting dalam proses ini,” kata Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt. – AGENSI
The post Tidak bincang penyerahan wilayah Ukraine-Trump appeared first on Kosmo Digital.