Auto Added by WPeMatico

![]()
JOHOR BAHRU – Kegagalan Pakatan Harapan (PH) menamakan calon Menteri Besar Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) terus menjadi polemik apabila perkara itu disifatkan menimbulkan persoalan mengenai hala tuju kepimpinan gabungan berkenaan.
Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui siapa individu yang bakal ditawarkan untuk menerajui pentadbiran negeri sekiranya PH diberikan mandat.
Menurut beliau, soal kepimpinan bukan sekadar isu politik, sebaliknya berkait rapat dengan akauntabiliti kepada pengundi dan keyakinan pelbagai pihak termasuk pelabur.
“Kita tidak mempertikaikan bahawa pelantikan Menteri Besar tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Johor dan perkenan DYMM Sultan Johor.
“Namun, itu bukan alasan untuk tidak menamakan calon yang mahu diketengahkan kepada rakyat. Jika benar mereka mempunyai ramai pemimpin yang layak, mengapa sukar menamakan seorang calon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rakyat bukan sahaja mahu menilai manifesto dan dasar yang dibawa, malah ingin melihat individu yang akan bertanggungjawab melaksanakan agenda pembangunan negeri.
Dalam masa sama, Abdul Halim berkata, pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika ini dinilai berdasarkan rekod pencapaian serta prestasi yang boleh diukur.
Menurutnya, pelbagai aspek termasuk pelaburan, peluang pekerjaan serta pelaksanaan agenda pembangunan menjadi antara faktor yang memberi keyakinan kepada rakyat.
Katanya, sesiapa sahaja calon yang bakal diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN), perkara utama yang menjadi pertimbangan ialah rekod kerja, prestasi dan keupayaan mentadbir. – KOSMO! ONLINE
The post PH gagal namakan calon MB, Onn Hafiz dinilai berdasarkan prestasi appeared first on Kosmo Digital.
