Auto Added by WPeMatico

![]()
GERIK: Pas mengharapkan kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dapat diteruskan dalam pilihan raya akan datang.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berharap kerjasama itu dijalinkan dengan penuh ikhlas antara kedua-dua pihak.
“Nombor satu kena ikhlas. Kalau hendak untung sementara, bolehla kalau tidak mahu ikhlas. Kena ikhlas, jujur dan sedia berkorban,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Perak di sini hari ini.
Apabila ditanya sama ada beliau dapat menilai keikhlasan yang ada antara PN dan BN, Muhammad Sanusi berkata semangat tersebut hanya tersemat dalam hati masing-masing dan sukar untuk diukur.
Mengenai dakwaan dirinya tidak dibenarkan berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau berkata hal itu tidak berlaku.
“Mereka tiada hak untuk menghalang saya. Saya bebas sebagai rakyat Malaysia dan hak saya dijamin oleh Perlembagaan.
“Saya tidak tertakluk kepada arahan daripada parti lain,” katanya.
Mengenai negeri Perak, Muhammad Sanusi melihat potensi untuk partinya menang dan membentuk kerajaan di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Semasa PRU-15 tahun 2022, Pas memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu kedua terbanyak selepas DAP. – UTUSAN
The post Pas harap kerjasama PN-BN jujur dan ikhlas appeared first on Utusan Malaysia.
