Auto Added by WPeMatico

Kehadiran 222,962 orang pengunjung pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak sepanjang tiga hari berlangsung iaitu pada 13 hingga 15 Jun lalu membuktikan acara berkenaan terus diterima oleh rakyat.
Berdasarkan statistik kehadiran pengunjung ke program tersebut, dapat dilihat jumlah orang ramai yang hadir ke acara itu meningkat dari hari ke hari.
Pada hari pertama penganjuran PMR 2025 Perak di Lumut Waterfront, seramai 45,175 orang pengunjung telah hadir pada 13 Jun, diikuti 77,284 orang pengunjung (14 Jun) dan 100,503 orang lagi pada 15 Jun.
Pelaksanaan program berskala besar itu merupakan lokasi ketiga bagi penganjuran PMR 2025 selepas dilaksanakan di Sabah dan Johor.
Program berskala besar di Perak itu merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai kementerian peneraju dan kerajaan negeri Perak selaku tuan rumah dengan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri sebagai sekretariat induk.
Majlis Perasmian PMR 2025 Perak disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad lalu. Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Mengetengahkan tema ‘Pendidikan Tinggi Pemacu Negara MADANI’, PMR 2025 Perak kali ini memberi fokus kepada peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin dasar dan pembangunan inisiatif yang berpaksikan disiplin ilmu seperti penyelidikan, inovasi dan pemikiran kritikal.
Pengisian program merangkumi perkhidmatan touchpoint rakyat, inisiatif kesejahteraan komuniti, sesi bersama pemimpin, serta aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ia turut dianjurkan selaras dengan hasrat merakyatkan perkhidmatan di samping memperkukuh aspirasi Rakyat Madani, sekali gus berjaya menarik lebih daripada 100,000 orang dari negeri ini dan kawasan sekitarnya melebihi dari sasaran pengunjung bagi skala besar.
Pengisian program melibatkan pembukaan lebih 40 reruai kementerian, agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Perak, GLC, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta.
Antara komponen yang telah disediakan adalah sebanyak 230 perkhidmatan touchpoint rakyat, penglibatan lapan usahawan jualan Madani, 12 majikan di Karnival Kerjaya, 75 sesi libat urus pentas, 16 program satelit dan lapan agensi perkhidmatan bergerak.

Selain itu, KPT turut mengadakan beberapa perkhidmatan dan penawaran kepada komuniti setempat termasuklah servis asas motosikal percuma dan penanaman anak pokok bakau.
Turut ditawarkan adalah pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh Hospital Pengajar Universiti (HPU) dan progam pembersihan kawasan pantai bersama pelajar antarabangsa.
Penganjuran PMR 2025 Perak telah berjaya mencapai objektif serta merakyatkan program dan perkhidmatan kerajaan di akar umbi seiring dengan aspirasi Pendidikan Tinggi Pemacu Negara Madani.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata, pihaknya memperkenalkan AIMI (AI Menyantuni Insan) kepada para pengunjung di PMR kali ini.
Katanya, ia bermatlamat untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai berhubung teknologi kecerdasan buatan (AI) tersebut yang akan digunakan bagi khidmat kaunseling terutamanya di institusi pendidikan tinggi (IPT).
“Aplikasi ini diperkenalkan agar semua warga IPT dan seluruh rakyat dapat bersama-sama menyumbang dalam membangunkannya, sekali gus memberikan manfaat untuk semua.
“Kita berada di fasa pengumpulan data untuk membentuk AI yang bijak dan disasar dilancarkan semasa Festival Idea Putrajaya yang akan dianjurkan pada November 2025 ini,” katanya.
Beliau menerangkan, prototaip AIMI yang dibangunkan sejak tahun lalu itu telah menunjukkan perkembangan apabila kini mampu ‘membaca’ riak wajah orang ramai yang berinteraksi dengannya.
Katanya, ia mampu menilai sama ada individu berkenaan berasa sedih, kecewa mahupun gembira, bahkan AIMI turut berupaya memberikan maklum balas berdasarkan maklumat diterima.
“Kini, KPT sedang membentuk AI yang boleh memberikan penyelesaian kepada isu dalam masyarakat sebenar.
“Kesihatan mental dipilih kerana ia adalah satu cabaran besar kepada negara.
“Pengesanan tahap stres, yang membawa kepada anxiety dan seterusnya depresi di peringkat awal adalah amat penting,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Kolej Komuniti Bagan Datuk, Raja Ahmad Syawal Raja Musa berkata, Kolej Komuniti di Perak telah menyelenggara kira-kira 550 buah motosikal sepanjang tiga hari PMR 2025 di Lumut itu berlangsung.
Beliau berkata, pada asalnya mereka menyasarkan 300 buah motosikal untuk disenggarakan namun sambutan amat baik diterima daripada orang ramai jadi jumlah itu meningkat hingga hampir 600 buah motosikal.
“Kolej Komuniti Bagan Datuk, Pasir Salak, Sungai Siput, Gerik dan Taiping di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di bawah KPT telah terlibat dengan program CSR ini.
“Antara yang kita lakukan pada program CSR ini ialah tukar minyak enjin, tukar palam pencucuh dan memeriksa tekanan angin, mencuci rantai dan lain-lain kerja ringan bagi motosikal bawah 160cc,” katanya.
Raja Ahmad Syawal berkata, terdapat juga ibu bapa yang datang bertemu mereka bagi mendapat maklumat lanjut berhubung program-program yang ditawarkan di Kolej Komuniti.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Klinikal Perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Mohmmad Salleh Yahya berkata, program Prihatin Madani menawarkan pemeriksaan mata dan telinga, kesihatan serta kecergasan fizikal kepada para pengunjung PMR 2025 di Lumut Waterfront tersebut.
“Pada hari pertama, kami menerima kunjungan daripada 120 pengunjung yang mahu memeriksa tahap kesihatan masing-masing dan pada hari kedua 145 orang, manakala hari ketiga lebih 150 orang. Pasukan kita kali ini terdiri daripada 24 orang,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Program MADANI Rakyat 2025 Perak capai objektif appeared first on Kosmo Digital.