Auto Added by WPeMatico

![]()
LUMUT – Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi jaminan bahawa mana-mana bangunan yang dibina menggunakan kaedah Modular Precast System (MPS) adalah kukuh, berkualiti serta selamat digunakan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada sebab untuk meragui tahap keselamatan bangunan yang dibina menggunakan kaedah tersebut kerana ia juga telah dibuktikan di peringkat antarabangsa.
“Di negara-negara luar, ada bangunan 10 tingkat siap dalam masa 28 jam 45 minit. Di China, ada bangunan setinggi 57 tingkat siap dalam masa 19 hari.
“Di China bangunan yang siap dalam tempoh 28 jam 45 minit itu juga kukuh daripada kejadian gempa bumi,” katanya pada sidang akhbar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Samudera di Seri Manjung hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan serta mendengar taklimat berhubung bangunan prasekolah yang berjaya disiapkan lebih awal 53 hari daripada tempoh asal.
Ahmad berkata, bangunan prasekolah yang siap awal berkenaan berjaya dicapai ekoran pengurusan projek serta kewangan yang baik diamalkan pelaksana projek seperti kontraktor dan pegawai penguasa dari Jabatan Kerja Raya (JKR).
Dalam pada itu, beliau berkata, di Perak terdapat 29 projek KKR di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan nilai keseluruhannya ialah RM34.2 juta.
“Terdapat 25 projek yang sedang berjalan manakala empat lagi dalam perancangan,” ujar beliau.
Katanya, daerah terlibat bagi projek tersebut ialah Kerian iaitu sebanyak dua projek, Kuala Kangsar (1), Larut Matang dan Selama (4), Perak Tengah (1), Batang Padang (4), Manjung (4), Kampar (1), Kinta (10) dan Muallim (2). – KOSMO! ONLINE
The post KKR jamin bangunan dibina guna kaedah MPS kukuh, selamat appeared first on Kosmo Digital.
