Auto Added by WPeMatico

![]()
BALING – Tindakan seorang warga emas yang disyaki menyalahgunakan permit bas sekolah dengan membawa 26 penumpang ke majlis pengebumian memakan diri apabila dia ditahan di Plaza Tol Gurun, dekat sini hari ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, bas yang membawa 26 penumpang itu ditahan dalam Ops Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
“Pemandu bas berusia 73 tahun itu dipercayai dalam perjalanan membawa kesemua penumpang tersebut ke satu majlis pengebumian di Bukit Jenun.
“Pemeriksaan mendapati pemandu bas sekolah itu menyalahgunakan permit yang dikeluarkan untuk membawa pelajar sekolah bagi tujuan lain iaitu membawa penumpang ke program persendirian,” katanya pada sidang akhbar di Stesen Penguat Kuasa JPJ Kuala Ketil, di sini hari ini.
Menurut beliau, pemandu bas dari Sungai Petani itu mendakwa mengambil penumpang bagi tujuan lain kerana kurang permintaan untuk membawa pelajar sekolah.
“Walau apa pun alasannya, ia tetap merupakan satu kesalahan. Jadi, kita bertindak menyita bas tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 22(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana disyaki melanggar syarat lesen pengendali,” ujarnya.
Jelasnya, pemandu bas berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak kira-kira dua tahun lalu.
Selain itu, katanya, pihaknya juga pernah menahan sebuah kenderaan persendirian iaitu van dalam keadaan daif yang didapati membawa pelajar sekolah secara haram.
“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan.
“Kita juga ingin menasihatkan ibu bapa agar tidak sesekali menggunakan perkhidmatan van atau bas sekolah tanpa permit bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan operasi khas sempena Hari Raya Aidiladha bermula 24 hingga 31 Mei depan bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
“Kita akan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan di lokasi strategik termasuk lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri, terminal pengangkutan awam dan kawasan hot spot kemalangan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Bas sekolah disita gara-gara bawa penumpang ke majlis pengebumian appeared first on Kosmo Digital.
