Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menggesa kementerian serta agensi yang berkaitan meningkatkan kawalan serta tahap keselamatan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara.
Seri Paduka Baginda bertitah, langkah berkenaan bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah serta mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
“Aspek keselamatan di pintu masuk negara perlu sentiasa diperkasa menerusi penguatkuasaan yang lebih berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara semua agensi berkaitan,” titah Sultan Ibrahim di laman Facebooknya hari ini.
Terdahulu, menerusi hantaran tersebut, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam di Istana Bukit Tunku hari ini.
Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), selain isu semasa membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan berhubung perkara berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Seri Paduka Baginda turut bertitah agar siasatan dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’ bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO). – KOSMO! ONLINE
The post Sultan Ibrahim mahu keselamatan lapangan terbang, pintu masuk dipertingkat appeared first on Kosmo Digital.
