Auto Added by WPeMatico

![]()
LANGKAWI – Persepsi buruk terhadap Bukit Malut, di sini termasuk dakwaan 15,000 etnik Rohingya menetap di perkampungan itu adalah tidak benar apabila jumlah sebenar penduduk di kawasan tersebut sehingga Mei lalu hanya kira-kira 5,500 orang.
Data bancian pihak berkuasa turut menunjukkan 92.2 peratus daripada penduduk di kawasan penempatan itu merupakan warganegara Malaysia yang memiliki kad pengenalan, manakala selebihnya ialah warga asing yang menyewa di situ.
Bukit Malut merangkumi enam kampung iaitu Kampung Bukit Malut, Kampung Tanjung Lembung, Kampung Datuk Hassan, Kampung Sungai Tepa, Kampung Baru Sungai Tepa dan Kampung Paya Mengkuang.
Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Na’eim Ajis berkata, tanggapan itu timbul akibat salah faham masyarakat yang mengaitkan Bukit Malut sebagai penempatan Rohingya, sedangkan majoriti penduduknya merupakan komuniti Melayu Islam Kedah (MIK) atau lebih dikenali sebagai Melayu Burma.
Katanya, komuniti itu berasal daripada keturunan masyarakat Melayu yang berhijrah ke Myanmar semasa penjajahan Jepun sebelum sebahagian daripada mereka kembali ke Malaysia dengan kemasukan rasmi ke Langkawi bermula sekitar 1980-an.
Menurut beliau, dakwaan bahawa Bukit Malut merupakan lokasi pendaratan Rohingya, selain dikaitkan dengan kegiatan jenayah dan penyeludupan juga tidak berasas berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pihak berkuasa.
“Ramai orang menganggap Bukit Malut ialah perkampungan Rohingya, tempat pendaratan Rohingya dan kawasan jenayah. Hakikatnya, apabila kita datang melihat sendiri dan mendapatkan fakta daripada pihak berkuasa, persepsi itu tidak benar.
“Malah kadar jenayah dan pelbagai kesalahan di kawasan ini sangat rendah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Bukit Malut, di sini hari ini.
Katanya, persepsi negatif itu menyebabkan penduduk Bukit Malut yang kini dianggarkan sudah memasuki generasi keempat sering dipandang serong walaupun sebahagian besar daripada mereka merupakan warganegara Malaysia yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan.
Menurutnya, terdapat juga penduduk di situ yang menyambung pengajian sehingga peringkat universiti serta bekerja sebagai penjawat awam dan pasukan beruniform.
Tambahnya, kerajaan bersama pelbagai pihak perlu mengubah naratif terhadap Bukit Malut melalui lebih banyak program pembangunan masyarakat, pendidikan dan kemahiran bagi menghapuskan stigma yang berpanjangan terhadap komuniti itu.
“Komuniti MIK ini berkongsi budaya, bahasa dan agama yang sama seperti masyarakat Melayu tempatan, justeru kerajaan disaran merangka pelan komprehensif bagi memperkukuh proses integrasi mereka dalam masyarakat selain melihat keperluan untuk memindahkan komuniti itu ke penempatan lain,” katanya.
Penempatan Bukit Malut turut menjadi kontroversi kerana ia didirikan atas tanah milik kerajaan, syarikat swasta dan tanah persendirian. – KOSMO! ONLINE
The post Bukit Malut bukan penempatan Rohingya, 92.2 peratus penduduk ada MyKad appeared first on Kosmo Digital.
